Wednesday, November 11, 2009

“Dengan cacat pincangku ini, aku bertekad merebut syurga…”

“Dengan cacat pincangku ini, aku bertekad merebut syurga…”

Bergetar hatiku usai menyudahkan bacaan berkenaan AMR IBNUL JAMUH, salah seorang mujahid… hartawan yang dermawan… sekaligus sahabat Rasullullah SAW… Kecacatannya sedikit pun tidak menghalang ia untuk membuktikan cintanya kepada Allah…!!! Terasa lemah sendiku… Apa yang telah kusumbangkan buat agamaMu ya Allah… Malam ini bakal menjadi saksi bisu…

“Ya Allah, mampukah aku mewarisi jannahmu..?” Hatiku bermonolog sendiri...

Aku banyak melakukan dosa ya Allah… sama ada yang kusedari ataupun tidak. Siapalah aku tanpa keampunan dan rahmatMu…

`…tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim’ (al-Anbiya’:87)

Doa dzun-nun itu kulantunkan perlahan...

Ya Allah… ampunkanlah aku…

“Apakah Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah kulakukan..?” Hatiku bertubi-tubi mendesakku… Meminta jawapan kepada persoalan yang aku tak pasti…

Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Az-zumar:53)

Ya Allah, jadikanlah aku ulama yang takut padamu...

`Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama[1]. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun’ (surah Faathir; ayat 28)

Fikiranku melayang kembali mengenangkan kisah Amr Ibnul Jamuh. Tentu kalian juga ingin tahu kan siapa sebenarnya lelaki ini hingga pantas namanya tersenarai sebagai sahabat baginda SAW. Ia adalah ipar dari Abdullah bin Amr bin Haram, suami dari saudara perempuan Hindun binti Amar. Ibnul Jamuh merupakan salah seorang tokoh penduduk Madinah dan salah seorang pemimpin Bani Salamah.


[1] Yang dimaksud dengan ulama dalam ayat ini ialah orang-orang berilmu yang mengetahui kebesaran dan kekuasaan Allah.


Amr Ibnul Jamuh telah menyerahkan hati dan hidupnya kepada Allah SWT. Beliau seorang yang pemurah dan dermawan hingga seluruh hartanya diserahkan untuk Islam dan teman-teman seperjuangan. Allah membalas pengorbanannya dengan melipatgandakan harta kekayaannya.

Dan sebagaimana dermawannya beliau dalam menginfakkan hartanya di jalan Allah, maka beliau tidak mahu sifat pemurahnya kurang dalam menyerahkan jiwa raganya…!!! Tetapi bagaimana caranya…? Kakinya yang pincang menjadi penghalang kepada lelaki ini untuk turut serta dalam peperangan. Ia mempunyai empat orang putera dan semuanya bagaikan pahlawan yang gagah… Turut bersama Nabi SAW dalam setiap peperangan serta tabah dalam menunaikan tugas perjuangan…

Kali ini Amr tidak peduli lagi. Dia telah membulatkan tekad untuk turut serta dalam perang Badar. Tapi... putera-puteranya secara sembunyi telah menemui nabi agar menasihati Amr Ibnul Jamuh supaya ia tidak ikut serta dalam peperangan sama ada atas kesedaran sendiri atau apabila terpaksa akibat larangan dari Nabi SAW. Baginda pun menyampaikan kepada Amr bahawa Islam membebaskan dirinya dari kewajiban berperang kerana kecacatan kakinya namun pemuda yang dalam dirinya telah sebati dengan kecintaan yang amat mendalam pada Allah ini merayu-rayu agar ia dapat turut serta sehinggakan Nabi terpaksa mengeluarkan perintah agar ia tetap tinggal di Madinah. Hancur luluh hati Amr Ibnul Jamuh mendengarkan perintah itu....


Tibalah saatnya perang Uhud. Amr lalu pergi menemui Nabi SAW memohon agar ia dapat turut serta menyumbangkan bakti.

“ Ya Rasullullah, putera-puteraku bermaksud menghalangiku untuk turut serta berperang bersama kamu. Demi Allah, aku amat berharap kiranya dengan kepincanganku ini, aku dapat merebut syurga...!!!”

Melihatkan pada kesungguhan Amr, baginda akhirnya mengizinkan Amr turut serta. Hatinya diliputi perasaan puas dan amat gembira. Ia berjalan terjingkat-jingkat sambil membawa senjatanya. Subhanallah... masih adakah jasad seperti Amr di bumi ini????

Dengan suara hiba ia memohon kepada Allah...

`Ya Allah, berikanku kesempatan untuk menemui syahid, dan janganlah aku dikembalikan kepada keluargaku...`




Pada hari Uhud itu, kedua-dua pasukan pun bertemu. Amr bersama keempat-empat puteranya maju kehadapan menghulurkan pedang kepada tentera penyebar kesesatan dan pasukan syirik..

Amr melompat dan berjingkat di tengah-tengah pertempuran yang hiruk-pikuk itu. Sekali melompat pedangnya menyambar satu dari kepala orang musyrik. Ia terus melepaskan pukulan pedangnya kiri dan kanan sambil mendongak melihat sekeliling, selah-olah mengharap kedatangan malaikat agar cepat-cepat menemani dan membawanya ke syurga.

Amr telah berdoa agar dia mendapat syahid. Dia pasti Allah tidak akan mensia-siakan doanya. Ia teringin sekali menjingkatkan kakinya yang pincang di dalam syurga. Ia ingin semua ahli syurga tahu bagaimana Muhammad SAW memilih sahabat dan bagaimana pula baginda mendidik manusia...




Akhirnya syahid yang telah sekian lama dirindui pun tiba... satu pukulan pedang dari pihak musuh... memaklumkan akan keberangkatan seorang syahid yang mulia...menuju ke jannatul firdaus yang abadi...

Dan tatkala kaum Muslimin memakamkan para syuhada’ mereka, Nabi SAW memerintahkan agar jasad Abdullah bin Amr bin Haram dan Amr Ibnul Jamuh disemadikan dalam satu makam kerana pada masa hidup mereka; mereka adalah dua sahabat yang setia dan berkasih sayang.

Setelah 46 tahun, banjir besar melanda dan menenggelami tanah pekuburan. Kaum Muslimin memindahkan kerangka para syuhada’. Mereka sungguh takjub... Kedua-dua kerangka sahabat itu seakan-akan baru sahaja ditanam. Tak sedikit pun tubuh mereka dimakan tanah. Mereka seakan-akan sedang nyenyak tidur. Dari kedua bibir masing-masing terukir senyuman manis... Senyuman yang tak pernah hilang sejak mereka dipanggil menemui Allah dulu... Redha dan bangga dengan kurniaan Allah terhadap mereka..

Rujukan:

1) Kitabullah
2) Karakteristik Perihidup 60 Shahabat Rasulullah



Nor Baizura bt. Zulkifli
USM
24/10/08A






No comments:

Post a Comment