Sunday, November 1, 2009

Solat Hajat Berjemaah Menjelang Peperiksaan?

Solat Hajat Berjemaah Menjelang Peperiksaan?
Berikut, kita rujuk terlebih dahulu dalil-dalil berkaitan solat hajat,

Adapun solat al-haajah, bagi mereka yang menganggapnya sunnah maka biasanya mereka akan berdalilkan hadith-hadith berikut:

a. Dari 'Abdillah ibn Abi Aufa meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluqNya, maka hendaklah dia berwudhu' dengan mengelokkan-wudhu'nya dan bersolat dua raka'at, dan kemudiannya memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW lalu hendaklah dia membaca do'a ini. La Ilaha IIIAIIah al-Halim al-Karim, SubhanAllah rabb al-'Arsh al-'Adzim (du'a ini tidak disalin semua)" [at-Tirmizhiyy, Kitab as-Solah, Ma jaa'a fi solaah al-haajah] (Dho'if sunan at-tirmizhiyy, no. 73)

Hadith ini dimasukkan oleh Imam Ibn al-Jawzi di dalam kitabnya al-Maudhu'at (iaitu hadith-hadith palsu) akan tetapi ia dihukum oleh Shaykh al-Albani dalam Dha'if Sunan Tirmizi sebagai sangat dha'if. Ini adalah kerana di dalam silsilah perawi hadith ini ada seorang yang bernama Faid bin Abd al-Rahman. Dia sangat dha'if, dikatakan Munkar al-Hadith oleh Imam al-Bukhari, Matruk (Ditinggalkan hadithnya tanpa ber'amal dengannya) oleh Imam Ahmad, Dha'if oleh Yahya ibn Ma'iin,

Hadit Kazhib (Hadithnya Bohong) oleh Abu Hatim al-Razi. Maka hadith ini tidak boleh dijadikan hujjah pensyari'atan solat hajat.

b. Dari 'Abdillah bin Abi Awfa al-Aslamiy bahawa satu hari telah keluar kepada kami Rasulullah SAW maka baginda bersabda,

"Barangsiapa yang mempunyai hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluq-Nya, maka hendaklah dia berwudhu' dengan mengelokkan wudhu'nya dan bersolat dua raka'at, dan (perhatikan perbezaan matan hadith ini dengan yang sebelumnya, di mana di dalam hadith ini tiada terdapat suruhan agar memuji Allah dan berselawat di atas junjungan Rasulullah SAW) kemudiannya hendaklah dia membaca du'a ini. La Ilaha IIIAIIah al-Halim al- Kariim, SubhanAllah rabb al-'Arsh al-'Aziim (du'a ini tidak disalin semua) kemudian dia meminta dari Allah akan hal-hal dunia dan akhirat, apa sahaja yang ia kehendaki, Sesungguhnya Dialah yang menentukan (ini juga merupakan penambahan di dalam riwayat yang sebelum ini)" [Ibn Majah, Kitab Iqamah as-Solah wa as-Sunnah fiiha, Ma jaa'a fi solah al-haajah] (Dho'if sunan ibn maajah, 293).

Hadith ini juga terdapat penyakit iaitu Faid bin Abd al-Rahman sebagaimana yang sebelumnya. Maka hadith ini juga tidak sah dijadikan hujjah.

c. Dari Abi Ad-Darda' RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang berwudhu' lalu diperelokkan wudhu'nya, kemudian dia menunaikan solat 2 raka'at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa yang dimintanya, sama ada cepat atau lambat (hadith ini tidak diterjemah sepenuhnya)" [Ahmad, Musnad al-Qoba'il]

Hadith ini pada silsilah periwayatnya ada seorang yang bernama Maimun atau Abu Muhammad al-Mara'ii at-Tamimi, seorang yang majhul yang tidak diketahui siapakah gerangannya oleh 'ulama' hadith. Malah di dalamnya juga ada Yahya ibn Abi Kathir. Beliau adalah thiqah tetapi kekadang dia meriwayatkan hadith secara mudallas dan kekadang dia meriwayatkan hadith dengan terputus sanad (Mursal). Jadi terdapat satu perawi yang majhul dan satu lagi yang ada mempunyai kes-kes yang tidak enak di dalam meriwayatkan hadith. Jadi, ia juga dho'if lalu tidak boleh dijadikan hujjah.

d. Dari 'Uthman bin Hunaif RA, bahawa telah datang kepada Rasulullah SAW seorang yang buta matanya seraya berkata, “Ya Rasulallah! Doakan kepada Allah untuk saya supaya Dia menyembuhkan saya.” Rasulullah SAW bersabda, “jika engkau mahu, (doakan segera) maka akan aku doakan untukmu dan jika kamu mahu kamu boleh bersabar dan ianya (bersabar) lebih baik bagi kamu.” Lelaki itu menjawab, “Doakanlah!” Maka Rasulullah SAW menyuruhnya supaya berwudhu' dengan elok lalu bersolat dua raka'at dan berdoa dengan doa ini, “Allahumma Inni asaluKa wa atawajjahu ilaika binabiyyika Muhammad Nabiy ar-rahmah. Inni tawajjahtu bika ila rabbi fi hajati hazihi lituqdha liyy. Allahumma fashaffi'hu fiya” (Hadith Hassan Sahih Gharib) [al-Tirmizi: Kitab ad-Da'awat 'an rasulillah, fi du'aa' addho'iif, Ibn Majah: Kitab Iqamah as-Solah wa as-Sunnah fiha]

Hadith inilah merupakan hadith yang paling sohih dalam menjadikan hujjah sebagai pensyari'atan solat hajat. Akan tetapi do'anya tentulah tidak sesuai diamalkan kerana ia bersangkutan dengan tawassul kepada Nabi pada masa hidupnya.

Adapun sekarang, Rasulullah SAW telah pun wafat. Maka tidak boleh lagi bertawassul melalui baginda.

Jika dilihat dari hadith-hadith di atas, baik yang dha'if ataupun yang sahih, ia dilakukan sendiri oleh tuan empunya hajat. Rasulullah SAW, walaupun pada ketika itu masih hidup dan ada bersama lelaki yang buta itu, akan tetapi baginda tetap tidak mendirikan solat itu bersama-sama dengannya malah baginda menyuruh si buta itu sendiri sembahyang untuk memohon hajatnya kepada Allah secara langsung. Cuma do'anya sahaja bertawassulkan kepada Rasulullah SAW (ketika hidup) sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sendiri.

Solat ini di dalam mazhab Syafi'ie diletakkan di bawah solat naafil (sunnat) yang didirikan secara individu. Solat nafil yang didirikan secara berjama'ah adalah seperti Solat 'lid al-fitr dan Solat 'Id al-Adha (solat raya), solat Istisqo' (solat minta hujan) serta solat gerhana. Solat al-haajah ini tidak diletakkan di bawah solat nafil yang dilakukan secara berjama'ah dan seelok-eloknya ia dilakukan secara individu.

Demikianlah yang diketahui dan diajar oleh para 'ulama' zaman-berzaman. Manusia yang paling hebat diuji oleh Allah adalah para Nabi-nabi 'alayhimussolatu wassalam sesuai dengan sabdaan Nabi dalam sebuah hadith yang sohih: "Sesungguhnya di antara sedahsyat-dahsyat manusia yang diberi balaa' (ujian) adalah para anbiyaa', kemudiannya adalah orang yang selepasnya (dari segi keimanan) dan kemudian adalah yang selepasnya." (Riwayat Ahmad) (Majma' az- Zawwa'id) ( Silsilah al-ahaadith as-sahiihah 145, 3267, 1165) [diriwayatkan hadis ini juga
oleh beberapa perawi lain dengan lafaz yang sedikit berbeza]

Nabi Muhammad saw dan para sahabat sendiri telah melalui pelbagai keadaan di zaman mereka seperti:

a) Peristiwa penyiksaan ke atas Bilal, Khabbab dan para sahabat yang lain.
b) Pemboikotan ekonomi ke atas kaum Muslimin
c) Kejadian ba'iah ridhwan selepas 'Uthmaan tidak pulang ke pangkuan kaum Muslimin.
d) Berpuluh-puluh misi ketenteraan
e) Peristiwa hadith al-ifk yang menimpa 'Aisyah
f) Peristiwa pengepungan ke atas kota Madeenah oleh tentera Ahzaab
g) Peristiwa pembunuhan 'Uthman
h) Peristiwa perang saudara di antara Mu'awiyyah dan 'Ali

Walaupun terdapat begitu banyak dugaan dan cabaran yang menimpa kaum Muslimin di zaman para Nabi dan sahabat namun tidak pernah sekali pun kita mendengar Nabi saw atau para sahabat-sahabatnya menganjurkan solat haajah sebagaimana yang dibudayakan oleh kebanyakan orang Melayu pada hari ini. Di sesetengah masjid di Negara kita, hampir tiap-tiap malam diadakan majlis solat haajah ini untuk pelbagai sebab yang mendatang. Ini tidak lain adalah rekaan dalam 'ibadah yang semua kaum Muslimin perlu menghindarinya. Sesungguhnya yang terbaik itu adalah dalam mengikuti Sunnah dan menjauhi bid'ah.

Berikut pula adalah kupasan berkaitan dalil Doa Qunut (Nazilah),

Hadis daripada ibnu Abbas:
Ertinya: Rasulullah berqunut sebulan terus menerus dlm solat zohor, asar, magrib, isyak dan subuh di akhir tiap-tiap kali solat apabila ia berkata "sami'allahu liman hamidah" dr rakaat akhir. ia mendoakan kehancuran atas penduduk kabilah bani salim, kabilah ra'lun, zakwan dan 'Ushyayyah dan orang-orang yg dibelakang mengaminkannya. (Riwayat abu daud & Imam ahmad)

Rasulullah berbuat demikian kerana kabilah-kabilah tersebut mengaku memeluk islam dan meminta kpd Rasul s.a.w. supaya menghantar kepada mereka guru-guru yang akan mengajar mereka. Rasulullah s.a.w. lalu menghantar 70 orang guru tetapi mereka membunuhnya maka oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w. berqunut nazilah. Abu hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah apabila hendak berdoa untuk kehancuran seseorang atau untuk kebaikan seseorang, beliau akan berqunut selepas rukuk.

Daripada hadis di atas juga bacaan doa Qunut sebenarnya tidak dihadkan kepada ketika solat subuh sahaja, sebagaimana hadis yang berikut:

Ertinya: “bahawasanya nabi saw tidak berqunut dlm solat subuh kecuali apabila ia mendoakan kebaikan kpd satu kaum ataupun kehancuran satu kaum. (Riwayat ibnu hibban, dan ibnu khuzaimah)
Asy-syaukani pula mengatakan supaya jangan dikhususkan qunut itu di dalam satu solat sahaja tanpa solat-solat yg lain.

“adalah rasulullah s.a.w. tidak berqunut kecuali apabila beliau berdoa utk kebaikan seseorg atau mendoakan kehancuran seseorang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban daripada Abu Hurairah r.a)

KEPALSUAN SOLAT HAJAT DAN ALTERNATIF-NYA

SOALAN:

Saya (penulis) sering ditanya berkenaan hukum solat hajat, dan diminta agar menjawab dengan berhujjahkan dalil-dalil syara, apakah solat hajat itu hukum sunnah atau bid’ah?

JAWAPAN:

Al-Hamdulillah, was-salatu was-salamu ‘ala Rasulullah. Menurut para ulama hadis (para muhaddis), bahawa semua hadis-hadis yang berkaitan dengan solat hajat adalah hadis dha’if belaka (hadis lemah). Tidak boleh mengamalkan hadis-hadis lemah walaupun banyak jumlahnya. Maka mendirikan solat hajat dihukum bid’ah lantaran tidak ada hadis yang sahih untuk dijadikan hujjah atau sandaran.

Menurut Imam al-Bukhari rahimahullah (dan para imam hadis yang ramai) bahawa:

“Semua para rawi yang telah aku jelaskan tentang hadis solat hajat padanya mungkarul hadis, maka tidak boleh diterima riwayatnya”. (Lihat: Mizanul I’tidal, Jld. 1. Hlm. 6)

Antara hadis-hadis lemah yang menjadi hujjah dan alasan kepada mereka yang melakukan solat hajat ialah:

(HADIS PERTAMA)

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللهِ حَاجَةً ، أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِيْ آدَمَ ، فَلْيَتَوَضَاُّ وَلْيُحْسِنِ الْوُضُوْءَ ، ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ ، ثُمَّ الْيُثْنِ عَلَى اللهِ وَلِيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، ثُمَّ لِيَقُلْ: لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ الْحَلِيْمُ الْكَرِيْمُ ، سُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، أَسْأَلُكَ مُوْجِبَاتِ رَحْمَتِكَ ، وَعَزَائِمِ مَغْفِرَتِكَ ، وَالْغَنِيْمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لاَ تَدَعْ لِيْ ذَنْبًا اِلاَّ غَفَرْتَهُ ، وَلاَ هَمًّا اِلاَّ فَرَجْتَهُ ، وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رَضًا اِلاَّ قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِيْنَ

حَدِيْثٌ ضَعِيْفٌ جِدًّا . اَخْرَجَهُ التَّرْمِذِي (1/477). وَابْنُ مَاجَه رَقَم (1348) . وَالْحَاكِمُ (1/230). كُلُّهُمْ مِنْ طَرِيْقِ فَائِدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ أَبِيْ أَوْفَى مَرْفَوْعًا

قَالَ التُّرْمِزِي: هَذَا حَدِيْثٌ غَرِيْبٌ ، فِى اِسْنَادِهِ مَقَال . فَائِدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَن يُضَعَّفُ فِى الْحَدِيْثِ ، وَفَائِدُ هُوَ أَبُوْ الْوَرْقَاء

“Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Barangsiapa yang mempuyai hajat kepada Allah atau kepada salah seorang dari Bani Adam, maka hendaklah dia berwuduk serta membaguskan wuduknya, kemudian solat hajat dua rakaat. Setelah selesai solat hendaklah dia menyanjung Allah dan berselawat kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Kemudian ia membaca doa hajat:

لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْحَلِيْمُ الْكَرِيْمُ ، سُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ ، اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ ، أَسْألُكَ مُوْجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ ، وَالْغَنِيْمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ ، وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ ، لاَ تَدَعْ لِيْ ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ ، وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَجْتَهُ ، وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Hadis di atas ini sangat lemah. Dikeluarkan oleh Imam Tirmizi (1/477). Ibnu Majah No. 1384. Dan Hakim (1/320). Semuanya dari jalan Faaid bin Abdurrahman dari Abdullah bin Abi Aufa secara marfu’.

Imam Tirmizi rahimahullah dalam riwayatnya menjelaskan tentang hadis ini bahawa:

“Hadis ini gharib (asing), pada sanadnya ada perbincangan (dipersoalkan) atau (maqal مقال) disebabkan Faaid bin Abdurrahman telah dilemahkan hadisnya. Dan Faaid dia adalah Abu al-Waruqa”. (Lihat: Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamatus Solah wa-Sunnatu Fiha. Bab Ma Jaa Fi Solatul Hajah. Hadis 189)

Didapati sanad (rawi) hadis ini sangat lemah, kerana Faaid bin Abdurrahman telah dilemahkan oleh ramai (sejumlah besar) ulama hadis (muhaddis). Di bawah ini dibawakan penjelasan para ulama hadis tentang Faaid bin Abdurrahman Abdul Waruqa’:

Berkata Abdullah bin Ahmad dari bapanya (Imam Ahmad rahimahullah), bahawa hadis ini termasuk “Mungkarul hadis” منكر الحديث atau orang yang ditinggalkan (tidak boleh dipakai) hadisnya.

Berkata Imam Ibnu Ma’in: Faaid binAbdulrrahman dhaif (lemah hadisnya) dan bukan orang yang siqah (tidak dipercayai).

Berkata Imam Abu Daud: Faaid bin Abdurrahman Waruqa’ tidak berguna (istilah yang bermakna lemah/perawi yang lemah).

Berkata Imam an-Nasaii: Faaid bin Abdulrrahman dia perawi yang tidak siqah atau matrukul hadis (hadisnya ditinggalkan).

Berkata Imam Abu Hatim: Hadis-hadis dari Ibn Abi Aufa batil (Faaid bin Abdurrahman meriwayatkan hadis ini dari Ibnu Abi Aufa), maka hadisnya batil.

Berkata Imam al-Hakim: Faaid bin Abdurrahman meriwayatkan hadis ini dari Ibnu Abi Aufa dan hadis-hadisnya adalah maudu’ (palsu).

Berkata Ibnu Hibban: Hadis ini adalah “Mungkarul Hadis” منكر الحديث iaitu jenis hadis yang darjat mungkar.

Berkata Imam al-Bukhari: Mungkarul Hadis. Dan menurut jarah Imam al-Bukhari:

“Bahawa setiap rawi yang telah aku katakan padanya mungkarul hadis, maka tidak boleh diterima segala riwayatnya”. (Lihat: Mizanul I’tidal. 1/6)

Dengan keterangan ini, jelaslah bahawa hadis tentang solat hajat sangat lemah kerana telah lemahkan oleh ramai ulama hadis, malah menurut sebahagian besar ahli hadis (ulama hadis/muhaddis) ia adalah hadis palsu, mungkar atau matruk (ditinggalkan).

Oleh yang demikian, mengamalkan solat hajat untuk tujuan-tujuan tertentu seperti ingin lulus dalam peperiksaan, ingin menunaikan sesuatu hajat, sebelum berpergian atau sebagainya, maka ia adalah perbuatan bid’ah yang diada-adakan, kerana tidak ada keterangan, dalil atau hujjah yang sahih yang membolehkannya.

(HADIS KEDUA)

Bantahan terhadap Syaid Sabiq rahimahullah:

عَنْ اَبِيْ الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : يَا اَيُّهَا النَّاسُ ، إِنِّيْ سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : مَنْ تَوَضَّأَ فَأَسْبَغَ الْوُضُوْءَ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ يُتِمُّهُمَا أَعْطَاهُ اللهُ مَا سَأَلَ مُعَجَّلاً أَوْ مُؤَخَّرًا

حَدَيْثٌ ضَعِيْفٌ . رَوَاهُ أَحْمَدُ فِى الْمُسْنَدِ 6/332 – 443

“Dari Abi ad-Darda’ radiallahu ‘anhu berkata: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda!: Barangsiapa yang berwuduk, lalu dia sempurnakan wuduknya, kemudian melakukan solat dua rakaat dengan sempurnanya, nescaya Allah akan menunaikan segala hajatnya (apa sahaja yang diminta) cepat atau lambat”.

Hadis Lemah. Diriwayatkan oleh Ahmad dalam al-Musnad 6/442 – 443.

Hadis di atas ini lemah. Ia dimuatkan oleh Syaid Sabiq dalam kitabnya “Fiqih Sunnah”. Hadis ini dianggap oleh Syaid Sabiq sebagai hadis sahih, namun sebaliknya menurut al-Imam Nasruddin al-Albani rahimahullah bahawa hadis ini terbukti hadis yang lemah. (Lihat penjelasan Nasrudsdin al-Albani dalam kitabnya: Tamamul Minnah. Hlm 260) Hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk membolehkan solat hajat. Begitu juga hadis ini dan yang semisal dengannya tidak mempunyai syawahid.

Menurut al-Albani rahimahullah: Hadis di atas ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad rahimahullah dalam Musnadnya 6/442 - 443 dengan sanadnya yang lemah (dhaif). Di dalam sanadnya terdapat seorang rawi yang majhul (tidak dikenali/tidak diketahui), iaitu Maimun Abi Muhammad. (Lihat: Tamamul Minnah. Hlm. 260)

Dengan demikian kenyataan Syaid Sabiq rahimahullah bahawa sanad hadis ini sahih adalah merupakan kesilapan dan tasaahul (bermudah-mudah) dalam mengambil hadis sebagai hujjah syara.

Dengan penjelasan ini, diharap para ulama yang mengamalkan serta membiarkan umat mengerjakan solat hajat diketika mereka ada hajat/keperluan, seperti amalan di sekolah-sekolah atau pusat-pusat pengajian tinggi apabila hampirnya menghadapi peperiksaan, atau juga persatuan-persatuan agama apabila ada perayaan-perayaan tertentu, masjid-masjid, surau-surau atau orang perseorangan apabila menghadapi hari-hari yang dianggap sebagai hari musibah, maka mereka (terutamanya para ulama) perlu berhujjah dengan hujjah dari syara untuk membolehkan solat hajat agar mereka tidak terjebak melakukan bid’ah yang ditegah oleh agama Islam.

Pengganti solat hajat:

1 - Adapun pengganti solat hajat apabila ada keperluan atau hajat, hendaklah solat istikharah sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis yang sahih.

Antara para Imam hadis (Ahli Hadis) yang memuatkan hadis tentang solat hajat di dalam kitab-kitab mereka kemudian melemahkannya ialah:

Imam al-Hakim. Lihat: Kitab al-Mustadrak. 1/320.

Imam at-Tirmizi: Lihat: Sunan Tirmizi 1/477.

Imam Ibnu Majah. Lihat: Hadis no. 134.

Ibn Hajar. Lihat: Kitab Tahzibut Tahzib 8/255.

Imam an-Nawawi. Lihat: Al-Azkar. Hlm. 167.

Untuk persoalan solat Istikhoroh, rujuk di sini:

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/12/065-solat-istikhoroh-sebagai-satu.html

2 – Berdoa (Secara Umum)

Iaitu berdoa secara umum tanpa menetapkan dengan kaedah-kaedah tertentu yang khusus yang tidak pernah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w.. Berdoa boleh sahaja dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (al-Baqarah 2: 186)

Sebagai contoh, boleh juga berdoa di akhir solat (selepas tasyahhud dan sebelum salam), di dalam sujud dan seumpamanya yang sebagaimana disunnahkan.

“Apabila kamu duduk pada setiap dua rakaat, ucapkanlah At-Tahaiyyat …., kemudian hendaklah seseorang kamu memilih doa yang disukainya dan hendaklah ia mengajukan permohonannya kepada Allah Yang Mahaperkasa lagi Mahamulia”. (Hadis Riwayat an-Nasaii, Ahmad dan at-Thabrani dengan sanad sahih)

Menurut Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah:

“Hadis ini secara tersurat menyatakan dibenarkannya berdoa pada setiap tasyahhud sekalipun pada tasyahhud awal. Pendapat ini dikemukan oleh Ibnu Hazam”. (Rujuk: Sifat Solat Nabi oleh Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Hlm. 198. Nota kaki)

Sedikit pengubahsuaian dari artikel An-Nawawi yang bertajuk Antara Solat Hajat dan Doa Qunut Nazilah dan Kepalsuan Solat Hajat dan Alternatifnya memandangkan masjid dan surau sekitar kampus yang ligat mengadakan solat hajat secara berjemaah.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment